Khamis, Julai 31, 2014
   
Text Size

KEBURUKAN CALON PEMIMPIN PERLU DIKETAHUI RAKYAT

Menjadi seorang pemimpin mestilah di kalangan orang berilmu, bertakwa, ada integriti moral iaitu bercakap benar, jujur, amanah, boleh diharap, telus, cekap dan pelbagai sifat kepemimpinan seperti dihuraikan dalam al-Quran.
Seorang pemimpin yang menipu rakyat,  tidak mempunyai integriti moral. Pemimpin seperti ini mempunyai kecacatan serius menyebabkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada kepimpinannya terhakis. Dan amat wajar rakyat diberitahu mengenai segala salah laku serta rekod jahat seperti amalan rasuah dan penyelewengan pihak berkuasa selama ini bagi memudahkan rakyat membuat pilihan pemimpin untuk menerajui negara.

Menyatakan keburukan pemimpin atau orang yang melakukan rasuah, penipuan, kejahatan moral sangat perlu didedahkan supaya rakyat tidak mengundi dan memilih mereka semula. Tindakan memberitahu keburukan orang lain atau pehak yang berkuasa itu boleh dan dibenarkan dalam Islam. Begitu juga menyatakan keburukan untuk memberi nasihat kepada seorang perempuan yang mahu berkahwin dan kita tahu lelaki tersebut tidak baik, maka mesti dedahkan keburukan lelaki itu kepada perempuan tersebut.

Walaupun pada zahirnya mendedahkan keburukan seseorang itu salah tetapi sebenarnya ia merupakan nasihat bagi mengelakkan kerosakan berlaku di masa hadapan. Allah swt melarang umat Islam melantik pemimpin daripada kalangan orang yang zalim. Pasti akan merosakkan diri, keluarga, umat dan agama. Orang yang zalim ini orang yang tidak seimbang daripada sudut psikologinya iaitu berfikiran melampau. Firaun, oleh kerana takut kehilangan kuasa, bersedia menghapuskan kanak-kanak kecil yang lahir. Kelahiran anak lelaki itu dijangka akan mengugatnya ketika besar, maka seluruh bayi Bani Israil dibunuh. Ini dilakukan hanya kerana mahu mempertahankan kuasa. Sebagai manusia, dia tidak akan kekal sendiri. Manusia akan meninggalkan kuasa tersebut, tetapi dengan kebodohan dan kebebalan sikap zalimnya. Firaun tergamak melakukan perkara yang bercanggah dengan agama, moral dan fikiran waras.

Zaman sekarang ini ada orang yang sanggup membunuh kerana semata-mata andaian lawannya itu akan melakukan kejahatan kepadanya. Rakyat perlu memberi keyakinan dan kepercayaan kepada para pimpinan Pakatan Rakyat iaitu PAS, Parti KeADILan dan DAP. Mereka juga terdiri daripada para ulama’, golongan professional yang berwibawa dan berintegriti.  Rakyat telah memberi peluang kepada Barisan Nasional selama hampir 55 tahun memerintah. Ternyata BN tidak membuktikan keupayaan memerintah. BN tidak boleh membela nasib rakyat. BN akan berusaha meneruskan kuasa mereka yang telah disalahguna dan diselewengkan secara serius. Saham mewah dan saham sederhana mengalir kepada keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai. Tidak diumumkan dan masih menjadi rahsia yang penuh mistri. Bagaimanakah dengan keadaan rakyat biasa, golongan yang berpendapatan rendah dan banyak lagi kawasan miskin yang perlukan bantuan? Adakah mereka juga mendapat peluang yang sama, memiliki saham-saham seperti ini?

Pemimpin-pemimpin BN yang hidup bermewah-mewahan inilah juga bercakap mengenai kemiskinan atau konon “untuk membasmi kemiskinan”. Melalui pancaran TV dan akhbar, mereka ini diperlihatkan murah hati dengan menyampaikan bantuan itu dan ini, beramah mesra, menepuk bahu rakyat, ada yang makan bersila di dapur masjid, membahagikan lauk kepada jemaah dan makan bersama. Demikian gambaran konon betapa “ mesranya” pemimpin seperti ini dengan rakyat. Gambaran yang mereka berikan dan perlihatkan begitu “merakyat” amat berbeza dengan gaya hidup mereka sebenarnya. Lebih jauh daripada itu, mereka menyebarkan budaya materialistik dengan mengagungkan wang dengan sogokan pembangunan kebendaan.

Inilah wajah pemimpin BN. Tidak banyak rakyat biasa tahu, disebabkan media massa memberikan gambaran yang baik saja dengan menyembunyikan watak sebenar. Manakala rakyat yang jelas mengetahui perkara sebenar pula hanya membisu, berpura-pura tak tahu, terdiri juga daripada yang berkelulusan agama pun. Tepuk dada dan tepuk iman.

Manakala golongan akademik yang terdiri daripada professor telah dijadikan lidah kerajaan untuk memperbodohkan rakyat. Islam itu menobatkan nilai murni yang sejagat, yang menjanjikan rahmat seluruh sekalian alam. Rakyat perlu diberi nasihat oleh para pemimpin parti, siapa yang sepatutnya diberi hak mengundi.  Menyatakan keburukan atau kelemahan seseorang kepada rakyat berhubung nasib masa depan negara amat dituntut. Agama itu nasihat. Nasihat perlu diberikan kerana Allah, kerana Rasul demi untuk Islam. Kalau Pakatan Rakyat tidak mengatakan hakikat sebenar maka rakyat akan ditipu oleh BN. BN akan terus memperalatkan media massa yang sudah menjadi budayanya untuk menipu rakyat khasnya menjelangnya pilihan raya.

Justeru, apa yang diterangkan oleh Presiden PAS pada satu ketika dulu yakni boleh mendedahkan keburukan calon BN selaras dengan tuntutan agama dan keperluan rakyat yang mendesak.

Oleh Cikgu Mohamad Shukri b Hj. Ahmad Fauzi
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sarawak



Login Form